Cucu lemas banjir, tangisan pilu nenek undang sebak
RANTAU PANJANG – “Anak saya beberapa kali turun ke halaman rumah yang digenangi air lebih satu meter, sebelum menemui cucu yang sudah kaku tidak bernyawa,” luah Siti Khadijah Abdullah, 52.
Siti Khadijah adalah nenek kepada Mohamad Putera Zafran Mohd Ashwadi berusia setahun, kanak-kanak pertama yang terkorban akibat banjir di Kampung Gual Tok Deh, di sini, hari ini.
Katanya, ketika kejadian dia dan ibu mangsa, Noriza Che Jusoh, 34, sedang mengemas bahagian dapur sebelum mendapati cucunya itu hilang dan mencari di seluruh bahagian rumah.
“Kami mula tidak sedap hati sebelum anak bongsu lelaki terus menyelam dan menemui cucu saya kaku berdekatan tangga rumah. Kami cuba sedaya upaya untuk menyedarkannya, namun tidak berjaya.
“Biasanya, cucu saya memang takut dengan air dan tidak pernah sesekali cuba untuk turun dari rumah selepas kediaman kami dinaiki banjir hampir dua minggu.
“Saya reda, mungkin sudah sampai masanya saya kehilangan cucu yang sangat aktif dan petah berkata-kata,” katanya.
Siti Khadijah berkata, cucunya dibawa menaiki lori bomba ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk dibedah siasat dan jika semuanya selesai dia akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual To’Deh, di sini.
“Saya masih lagi terkejut dan sedih, tambahan pula menantu (bapa mangsa) bekerja jauh di Australia dan hanya diberitahu akan nasib menimpa anaknya melalui telefon.
“Semoga segala urusan dipermudahkan supaya jenazah cucu saya dapat dikebumikan segera selain berharap anak perempuan saya (ibu mangsa) kuat menempuh dugaan kehilangan anak tersayang,” katanya.