Sarjan polis maut tertembak leher, dada, kepala sendiri

Anggota polis berpangkat Sarjan yang maut selepas disyaki menembak diri sendiri petang tadi mempunyai kesan tembakan pada leher, dada dan kepala.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, anggota berusia 51 tahun itu ditemui meninggal dunia dalam kejadian pada pukul 3.30 petang tadi.

“Si mati merupakan anggota polis yang bertugas di Balai Polis Bayan Lepas. Pihak polis turut menemui sepucuk pistol berada bersama si mati.

“Kes masih dalam siasatan dan pihak polis menasihati agar orang awam tidak menyebarkan sebarang spekulasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Bedah siasat ke atas mayat mangsa yang berasal dari Sarawak itu akan dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP). – KOSMO! ONLINE