3 maut, 3 parah dalam kemalangan ngeri di Sri Aman
3 maut, 3 parah dalam kemalangan ngeri di Sri Aman
Dua kanak-kanak adalah antara tiga maut selepas kereta dinaiki terbabit dalam nahas dengan dua lori di Jalan Selepong Maleh di sini, hari ini.
Tiga lagi mangsa dalam kereta jenis Proton Saga itu termasuk seorang bayi, dilaporkan cedera parah.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, kereta dinaiki enam mangsa dipercayai sekeluarga tersepit antara lori membawa muatan batu dan trak tunda.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 2.12 petang.
Beliau berkata, sebuah jentera dengan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman) bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati sebuah kereta remuk dan tersepit antara sebuah trak tunda dan lori.
“Enam mangsa dikesan tersepit dalam kereta berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ling Hii berkata, anggota bomba terpaksa meminta bantuan jentolak syarikat pembinaan Lebuhraya Pan Borneo untuk mengalihkan trak tunda yang menghimpit kereta terbabit.
Katanya, anggota menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit.
“Selepas semuanya dikeluarkan, tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian iaitu seorang wanita warga emas serta dua kanak-kanak berusia 12 dan empat tahun.
“Tiga lagi mangsa iaitu seorang lelaki dan wanita dewasa serta seorang bayi dilaporkan cedera parah,” katanya sambil memaklumkan identiti semua mangsa belum diperoleh.