Identiti 4 mangsa rentung dikenal pasti

IDENTITI empat mangsa rentung dalam insiden kebakaran dan letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang, Kota Tinggi, malam tadi, sudah dikenal pasti.

Dalam kejadian 10.50 malam itu, seorang mangsa masih sedang dikesan.

Empat mangsa yang maut ialah Fadhi Akmal Fadzil, Azarul Ashraf Nor Akmal, Norfazly Md Nor dan Che Huzaidy Che Harun.

Mangsa yang hilang dan sedang dikesan ialah Hadi Syafiq Jamil manakala mangsa parah dengan melecur 70 peratus dikenali sebagai Arnado Alexander manakala Mohd Saiful Amat disahkan selamat.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pauzan Ahmad berkata, mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk rawatan susulan manakala mayat dihantar ke Hospital Kota Tinggi.

“Terdapat tujuh mangsa iaitu empat rentung yang dikeluarkan anggota JBPM, seorang melecur 70 peratus dikeluarkan Pasukan Tindakan Kecemasan (Emergency Response Team), seorang mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi masih hilang.

“Setibanya anggota JBPM di lokasi kejadian, kebakaran membabitkan Plant Diesel Hydro Treater Unit (HTU) yang menjalankan proses membuang sulfur dari diesel mentah dengan menggunakan gas hidrogen.

“Operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan dengan kekuatan anggota seramai dua belas anggota dan dipecahkan kepada pasukan.

“Kerja pemadaman dan penyejukan pula menggunakan lapan pancutan monitor jentera dan dua pancutan Ground Monitor dengan sumber air dari jentera Water Tanker dan pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pauzan berkata, punca kebakaran masih lagi dalam siasatan dan kerja memadam kebakaran dan mencari mangsa masih diteruskan.

Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kebakaran Diesel Hydro Treater Unit menerusi talian terus ke balai pada jam 11.18 malam tadi.